Berita: Konvoi Kemerdekaan 'Belia Benci Rasuah' di Negeri Sembilan
Cuaca agak mendung ketika Zainudin sampai di bumi Adat Perpatih ini pada jam 10:15 pagi, 30 Ogos 2007 lepas. Ketibaan Zainudin disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh para peserta konvoi. Sebanyak 30 buah kereta serta 50 buah motor yang lengkap dengan pelekat “Belia Benci Rasuah” dan bendera Jalur Gemilang siap siaga menanti di Tol Seremban.
Turut hadir ketika itu ialah Pesuruhjaya PAS NS, Sdr. Zulkifli Omar, Ketua DPP Negeri Sembilan, Hj Taufek Abd. Ghani, Pengerusi GERAK NS, Ust Suhaimi Kassim, Eks. Koordinator GERAK Malaysia, Sdr. Badrul Hisham Shahrin (CheguBard) dan beberapa orang penyokong dari PAS, UMNO dan KeADILan. Jelas bahawa GERAK adalah merupakan sebuah badan NGO yang memperjuangkan isu rasuah tanpa ada halangan kepada mana-mana parti politik untuk turut serta dalam usaha melawan rasuah. Walaupun agak keletihan setelah 10 hari menjelajah seluruh semenanjung, namun Zainudin masih mampu mengukir senyuman tanda semangatnya yang kental untuk meneruskan misi "BELIA BENCI RASUAH"
Tepat jam 11:00 pagi, Pengerusi GERAK NS, Ust Suhaimi Kassim memberi taklimat ringkas tentang perjalanan konvoi dan seterusnya melepaskan para peserta konvoi. Bandar Seremban bertambah meriah dengan kehadiran para peserta konvoi yang membawa misi "BELIA BENCI RASUAH" . Lambaian serta sorakan sebagai tanda sokongan dari orang ramai telah membuatkan para peserta konvoi makin bersemangat walaupun ketika itu hujan renyai-renyai telah mula turun.
Para peserta konvoi yang diketuai oleh Zainudin tiba di Wisma Negeri pada jam 12:15 tengahari. Setelah menanti kira-kira 10 minit, Pegawai Khas kepada Menteri Besar NS, Sdr. Zulkifli Awang telah turun untuk menerima memorandum "Merdekakan Malaysia Dari Rasuah" yang diserahkan oleh Zainudin sendiri. Beliau yang mewakili MB NS, memohon kemaafan bagi pihak MB yang tidak dapat hadir bagi menerima memorandum atas sebab urusan rasmi di Istana Negeri. Beliau juga mengucapkan syabas atas usaha GERAK dalam memartabatkan Rasuah Musuh NO. 1 Negara. Laungan "Merdeka!" dan "Rasuah Musuh No. 1 Negara!" oleh para peserta konvoi dan orang ramai telah menggegarkan Wisma Negeri ketika itu.
Setelah menunaikan Solat Zohor di Masjid Negeri, satu taklimat keselamatan secara ringkas telah diberikan oleh CheguBard dan Zainudin kepada para peserta konvoi. Zainudin juga mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dengan para peserta konvoi yang terdiri dari anak-anak muda disamping bercerita tentang pengalaman masing-masing dalam arena permotoran.
Hujan makin lebat, namun tidak sedikit pun mematahkan semangat para peserta konvoi untuk meneruskan perjalanan ke Putrajaya. Tepat jam 3.00 petang, dengan lafaz Bismillah, CheguBard melepaskan peserta konvoi ke Putrajaya. Para peserta konvoi telah mengambil masa sejam setengah untuk sampai di Tol Kajang. Lebuhraya Utara-Selatan jadi meriah dengan kehadiran para peserta konvoi.
Pengerusi GERAK Malaysia, Sdr. Ezam Md. Noor dan Pengarah Program, Sdr. Ghani Harun telah bersedia menanti di Tol Kajang untuk sama-sama mengiringi para peserta konvoi bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Badawi.
Memorandum " Merdekakan Negara Dari Rasuah" telah berjaya disampaikan oleh Zainudin Ghazali kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Tuan Haji Mohammad Yaakob.Setelah upacara penyerahan memorandum selesai, satu sidang akhbar telah diadakan di depan Bangunan Jabatan Perdana Menteri di mana Sdr. Ezam Md. Noor di dalam ucapan beliau telah menobatkan Zainudin Ghazali sebagai ikon "BELIA BENCI RASUAH". Program petang itu diakhiri dengan laungan keramat "Merdeka!" , "Belia Benci Rasuah!" dan "Allahu Akhbar!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment